SIBU: Ibu bapa dan keluarga kepada graduan pelaut disaran untuk memberikan sokongan mental dan fizikal bagi membantu mereka meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.
Berkongsi pengalaman sebagai Pegawai Kadet yang berlayar selama 11 bulan, Ramli Yusoff yang kini Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak berkata, individu harus memiliki hati yang kental untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya sebagai pelaut.
Antara cabaran sebagai pelaut, katanya, ialah berjauhan daripada keluarga.
“Kerjaya pelaut memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Saya berharap semua graduan Pelita Maslaut akan menjadi pelaut yang cemerlang dan berjaya,” jelasnya pada Majlis Tamat Kursus dan Penyampaian Sijil Pegawai dan Kadet Marin Enjin Siri 2 Pelita Maslaut, hari ini.
Ramli juga menyatakan bahawa bidang marin kini semakin maju, dengan usaha sedang dijalankan untuk mengawal kapal dari jarak jauh, suatu perubahan yang mungkin akan dialami oleh pelaut masa depan.
Pengurus Besar Pelita Maslaut, Mohamad Nazim Masni pula menegaskan bahawa kerjaya sebagai pelaut penuh dengan pelbagai cabaran yang memerlukan usaha, disiplin dan komitmen.
“Mungkin sebelum ini apa yang mereka dengar kelihatan indah, namun sebenarnya memerlukan usaha yang keras.
“Pelatih dan pelaut perlu terus meningkatkan kemahiran mereka untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Maslaut, Masni Amit.
Oleh Tarani Lanting