AVIGNON: Seorang pesara Perancis dibicarakan kerana membenarkan puluhan lelaki asing merogol isterinya yang dibius.
Seramai 50 lelaki, yang direkrutnya secara dalam talian, turut dibicarakan di bandar Avignon, selatan Perancis, bersama suspek yang juga bekas pekerja syarikat utiliti tenaga Perancis, EDF berusia 71 tahun.
Mengikut kiraan polis sejumlah 92 kes rogol dilakukan oleh 72 lelaki, di mana 51 daripadanya sudah dikenal pasti.
Lelaki-lelaki berkenaan, berumur antara 26 hingga 74 tahun, dituduh merogol wanita berusia 72 tahun itu.
Menurut peguam mangsa, wanita tidak menyedari penderaan itu yang berlangsung selama satu dekad.
Mangsa tidak mempunyai ingatan mengenai penderaan itu dan hanya diketahui pada tahun 2020.
Wanita berkenaan hadir di mahkamah dengan sokongan tiga anaknya.
Polis mula menyiasat Dominique P pada September 2020 apabila dia ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan kerana merakam bawah skirt tiga wanita di sebuah pusat beli-belah.
Polis berkata mereka menemui ratusan gambar dan video isterinya di dalam komputer yang jelas tidak sedarkan diri dan kebanyakannya dalam keadaan posisi fetus.
Gambar-gambar itu didakwa menunjukkan puluhan kes rogol di rumah pasangan itu di Mazan, sebuah kampung dengan 6,000 penduduk kira-kira 33 kilometer (21 batu) dari Avignon di Provence.
Penyiasat juga menemui perbualan di sebuah laman web bernama coco.fr, yang ditutup oleh polis, di mana dia merekrut orang asing untuk datang ke rumah dan melakukan hubungan seks dengan isterinya.
Dominique P mengaku kepada penyiasat bahawa dia memberikan isterinya ubat penenang yang kuat, terutama Temesta, ubat untuk mengurangkan kebimbangan.
Penderaan itu bermula pada 2011, ketika pasangan itu tinggal di Paris, dan berlanjutan selepas mereka berpindah ke Mazan dua tahun kemudian.
Suaminya turut serta dalam perbuatan merogol dan merakamnya serta menggalakkan lelaki lain menggunakan bahasa yang menghina, menurut pendakwa raya.
Bagaimanapun tiada wang yang bertukar tangan.
Lelaki yang dituduh termasuk seorang pemandu forklift, pegawai bomba, ketua syarikat dan seorang wartawan.
Ada yang bujang, yang lain sudah berkahwin atau bercerai, dan ada yang merupakan bapa keluarga.
Kebanyakan hanya mengambil bahagian sekali, tetapi ada yang mengambil bahagian sehingga enam kali.
Pembelaan mereka adalah bahawa mereka hanya membantu pasangan libertin melaksanakan fantasi mereka, tetapi Dominique P. memberitahu penyiasat bahawa semua lelaki itu sedar bahawa isterinya dibius tanpa pengetahuannya.
Seorang pakar berkata keadaannya “lebih dekat dengan koma daripada tidur”.
Suaminya memberitahu pendakwa raya bahawa hanya tiga lelaki meninggalkan rumah dengan cepat selepas tiba, manakala yang lain terus melakukan hubungan seks dengan isterinya.
Dia juga telah didakwa dengan pembunuhan dan rogol pada 1991 dan cubaan merogol pada 1999, yang diakuinya selepas ujian DNA.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung sehingga 20 Disember. – AFP
Gambar
Mangsa berusia 72 tahun (tengah) hadir ke mahkamah dengan disokong tiga anaknya. – Foto AFP