KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang turut mengaitkan pembabitan seorang ahli politik dan suaminya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada tiga individu termasuk ahli politik itu dan suaminya.
“Kita sedang kesan seorang lagi individu untuk dirakam percakapan selain turut memanggil tiga penulis artikel dalam kes itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 28 Ogos lalu, media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat aktif dengan menjadi dalang kepada kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata wanita itu bersama suaminya turut memegang jawatan penting selaku pengerusi keselamatan sebuah syarikat dan difahamkan terbabit pada awal 2020.
Baru-baru ini tular sebuah video pembongkaran sindiket itu di Myanmar menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia.
Ini selepas ramai rakyat negara itu menjadi mangsa sindiket terbabit yang secara terang-terangan terbabit dalam aktiviti jenayah pemerdagangan manusia termasuk melakukan paksaan, penyiksaan, penjualan organ manusia dan jenayah membunuh.- Bernama.