KUCHING: Sebanyak 26 daerah di seluruh Sarawak dikategorikan sebagai zon hijau iaitu tiada sebarang kes positif Covid-19 direkodkan menjadikan ia masih bebas wabak maut itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau mengumumkan perkara tersebut agar masyarakat di daerah berkenaan dapat mengekalkan status tersebut.
“Sebab itu kita mahu memperketatkan pergerakan dari daerah ke daerah supaya penularan dapat disekat dan memutuskan rangkaian Covid-19.
“Kita mohon agar orang ramai janganlah balik ke kampung semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana ia akan menyebarkan virus ini di kampung,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat harian JPBN di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Menurutnya, daerah tersebut adalah Bau, Lundu, Asajaya, Saratok, Pusa, Kabong, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Marudi, Subis, Beluru, Telang Usan, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Lubok Antu dan Tebedu.
“Pergerakan orang awam di antara daerah hanya dibenarkan bagi kes-kes seperti menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.
“Sebab itu, JPBN hari ini memutuskan untuk mengekalkan arahan yang dikeluarkan sebelum ini. Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam menjelaskan Sarawak diklasfikasikan kepada tiga kategori iaitu zon merah (melebihi 41 kes), zon jingga (1 hingga 4 kes) dan zon hijau (tiada kes),” jelasnya.
Katanya, Kuching satu-satunya daerah di Sarawak dikategorikan sebagai zon merah dan telah merekodkan sebanyak 118 kes positif.
“Manakala zon jingga adalah Kota Samarahan dengan mencatatkan 20 kes, Simunjan (1), Serian (4), Sri Aman (1), Betong (9), Sarikei (6), Sibu (4), Mukah (1), Matu (1), Bintulu (5), Miri (11), Limbang (6) dan Lawas (1),” tambahya.