MELAKA: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah pakej rangsangan ekonomi yang mampan untuk memacu semula pertumbuhan sektor perdagangan, perindustrian dan pembuatan negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata menerusi PENJANA, usahawan atau syarikat perusahaan kecil dan sederhana akan dibantu untuk mengekalkan perniagaan mereka, sekali gus memulihkan ekonomi sektor itu.
“Sekarang kita memasuki fasa pemulihan Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara namun usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, sektor awam dan swasta, pihak industri dan rakyat.
“Banyak inisiatif yang diberikan kerajaan di bawah PENJANA untuk majikan, pekerja dan industri atau sektor yang terlibat untuk merangsang ekonomi, produktiviti dan pengoperasian pelbagai industri di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pembungkusan dan pengagihan peralatan perlindungan diri di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismail Ali.
Mengulas lanjut, Lim berkata pakej rangsangan ekonomi itu mampu memastikan semua sektor yang menyumbang kepada ekonomi rakyat dan negara dapat digerakkan sepenuhnya sekali gus mengimbangi pertumbuhan ekonomi mikro dan makro.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan 40 inisiatif di bawah PENJANA bernilai RM35 bilion yang sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, meningkatkan kemahiran semula dan membantu aliran tunai perniagaan.
Bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, pakej itu bertujuan memperkukuh ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun ini.- Bernama