KUALA LUMPUR: Peraturan dan undang-undang berkaitan perniagaan yang sedia ada perlu semakan dan penambahbaikan untuk mengurangkan beban peraturan yang tidak perlu, menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ini juga bagi mempromosikan amalan peraturan terbaik, katanya dalam kenyataan semalam.
MPC berkata, ia akan memanfaatkan kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Nexus Produktiviti dalam menangani perkara ini.
“Dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang ampuh, MPC mengalu-alukan inisiatif kerajaan dalam menggubal Rang Undang-Undang Covid-19 sebagai langkah sementara dalam memperkasakan rakyat,” kata Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.
Di samping itu, Abdul Latif berkata MPC terus menyokong industri pelancongan negara yang merupakan antara industri paling terkesan akibat Covid-19 melalui Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN).
“Pada masa ini, TPN sedang membangunkan pakej dan tarikan pelancongan maya sebagai alternatif untuk pengalaman melancong.
Dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dalam Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA, inisiatif transformasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor berkenaan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.
Kerajaan turut mengumumkan inisiatif penangguhan cukai bagi agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan serta penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai selama tiga bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.
Turut diumumkan pengecualian cukai pelancongan bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 dan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September hingga 30 Jun 2021.
Secara keseluruhan, beliau berkata, fokus Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertepatan dengan lima teras strategik di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) yang berlandaskan peningkatan produktiviti melalui tenaga kerja, digitalisasi dan inovasi, kebertanggungjawaban industri, keteguhan ekosistem perniagaan dan kekuatan mekanisme pelaksanaan. – Bernama