SHAH ALAM: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menerima sejumlah 25,140 permohonan daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Covid (CBRM) membabitkan peruntukan kira-kira RM201.12 juta.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata daripada jumlah itu, TEKUN Nasional telah meluluskan sebanyak 19,806 permohonan dengan nilai RM153.77 juta.
“Sejak skim ini dilancarkan pada 8 April lepas, kita telah menerima 25,140 permohonan seluruh negara.
“Menerusi skim ini, usahawan yang dibenarkan membuka perniagaan mereka telah memperoleh pembiayaan 100 peratus manakala yang belum dibenarkan beroperasi oleh kerajaan hanya mendapat 20 peratus pembiayaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pembiayaan CBRM kepada 20 usahawan di Bangunan TEKUN Nasional Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata setiap usahawan PKS akan menerima pembiayaan dengan had pinjaman maksimum RM10,000 bagi membantu mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19.
“Setakat ini kita lihat operasi perniagaan usahawan PKS yang dapat pulih dengan cepat walaupun kuasa beli itu tidak sepenuhnya kerana kemungkinan orang ramai masih lagi berjaga-jaga untuk keluar rumah atau membeli barang di luar.
“Pemulihan itu juga berlaku disebabkan kos atau modal yang dikeluarkan usahawan kecil ini lebih rendah dan murah, jadi mereka boleh memulakan operasi perniagaan dengan segera, contohnya seperti peniaga makanan,” katanya.
Wan Junaidi juga berharap premis PKS yang masih belum dibenarkan beroperasi akan dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata ini berikutan mengikut rekod, lebih 80 peratus pemohon CBRM adalah usahawan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan termasuk kedai gunting rambut dan salun.
“Kita amat berharap premis ini akan dibenarkan beroperasi dalam tempoh terdekat bagi membantu (membangunkan) semula ekonomi kumpulan usahawan ini,” katanya.- Bernama