DORTMUND: Ollie Watkins meledak gol kemenangan yang menakjubkan pada masa kecederaan untuk England menewaskan Belanda 2-1 dan menetapkan pertembungan final Euro 2024 berdepan Sepanyol di Berlin.
Ia adalah penamat luar biasa untuk malam yang bermula dengan suram buat England, kerana Xavi Simons memberikan Belanda pendahuluan awal pada separuh akhir di Dortmund.
Bagaimanapun, England tidak lama kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Harry Kane selepas pengadil Jerman, Felix Zwayer membuat semakan VAR dan perlawanan itu nampaknya seperti akan berlangsung sehingga ke masa tambahan sehingga Watkins menjaringkan gol.
Dimasukkan menggantikan Kane, Watkins menerima umpan Cole Palmer pada minit pertama waktu tambahan, melepaskan rembatan rendah ke sudut bawah gol untuk membuat Belanda terkejut.
“Saya kehilangan kata-kata. Saya tidak fikir saya akan menjaringkan gol sebaik itu dalam waktu genting ini,” kata Watkins, penyerang Aston Villa.
Kempen Gareth Southgate bersama England jarang sekali menyerlah, tetapi mereka berjaya mara ke final Kejohanan Eropah kedua berturut-turut dengan impian untuk memenangi trofi utama pertama sejak 1966.
Untuk melakukannya, mereka perlu bermain lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sehingga sekarang ini di Jerman kerana akan berdepan pasukan Sepanyol yang mengalahkan Perancis 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir sebelum ini.
Belanda sebelum ini berharap untuk mengulangi kejayaan mereka pada Kejohanan Eropah terakhir di Jerman, pada tahun 1988, tetapi pasukan mereka sekarang tidak mempunyai pemain bintang seperti Marco van Basten atau Ruud Gullit.
Kemenangan untuk mereka akan menyaksikan Euro ini berakhir dengan perlawanan akhir yang sama seperti Piala Dunia 2010. Sebaliknya mereka kini pulang ke rumah.
“Saya kecewa dengan keputusan akhir dalam perlawanan yang bermula dengan sangat baik untuk kami,” kata jurulatih mereka, Ronald Koeman. – AFP