PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Jabatan Veterinar akan mengadakan Ops Bersepadu Rabies pada 26 hingga 27 Jun ini.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata, operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan hotspot rabies dan dalam radius 5 Kilometer (Km).
“Pemilik anjing dinasihatkan untuk memastikan anjing mereka diberi vaksin, mempunyai permit daripada majlis tempatan dan disimpan di dalam kawasan berpagar rumah.
“Ingat langkah-langkah sekiranya anda digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing, sama ada haiwan peliharaan atau sesat, adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera.
“Jika ahli keluarga menerima sebarang gigitan, tanpa mengira saiz luka, adalah penting untuk melaporkannya dan mendapatkan rawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Marilah kita bersama-sama memerangi ancaman rabies dalam komuniti kita dengan mengambil langkah-langkah pencegahan ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Bengkel Penglibatan Komuniti Rabies di ibu pejabat MPP di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak majlis berharap dengan adanya bengkel tersebut, pihak komuniti setempat dapat bekerjasama rapat dengan MPP untuk mengurangkan kes rabies dengan memberi kesedaran kepada masyarakat serta memaklumkan MPP apabila ada kes dilaporkan.
“Marilah kita bersama-sama memerangi ancaman rabies dalam masyarakat kita dengan mengambil langkah-langkah pencegahan ini secara serius.
“Terima kasih kepada semua penganjur dan peserta atas dedikasi anda untuk tujuan penting ini agar kita boleh mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk manusia dan haiwan,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Johnny Pangkas dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh Mohd Neenatul Aizal