SIBU: Hasrat seorang lelaki tempatan untuk membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang ditawarkan dengan harga RM60,000 tidak kesampaian selepas terpedaya dengan urusan pembelian secara atas talian.
Mangsa berusia dalam lingkungan 70-an dan bekerja sebagai mekanik kapal telah mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM17,220 selepas terjerat dalam penipuan itu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu telah menerima satu laporan berhubung dengan kejadian itu pada 16 Jun lalu.
“Pada 7 Jun lalu, mangsa telah berminat dan tertarik dengan iklan di laman sosial Facebook
yang menawarkan jualan kenderaan lalu bersetuju untuk membeli sebuah kereta jenis Toyota
Alphard 2.5 dengan harga RM 60,000.
“Mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp yang menggelarkan diri dengan nama Sam Low,” katanya dalam siaran media.
Katanya, bagi mempercepatkan urusan pembelian mangsa dikehendaki untuk membuat beberapa
transaksi bayaran ke dalam akaun yang akan diberikan oleh suspek.
“Mangsa telah memasukkan wang pembayaran bermula dari 8 hingga 15 Jun sebanyak lima transaksi berjumlah RM17,220 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah pembayaran berjaya dibuat, suspek mengarahkan mangsa sekali lagi untuk membuat
bayaran sejumlah RM3,500.
“Mangsa berasa curiga dan sedari telah menjadi mangsapenipuan dalam talian lalu membuat laporan polis. Kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman