KUCHING: Sebanyak sembilan jalan akan ditutup sementara bagi memberi ruang kepada program Perarakan Gawai Dayak 2024, esok.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, beberapa jalan akan ditutup pada Jumaat, 14 Jun bermula jam 2 petang hingga selesai sesi raptai dan Sabtu, 15 Jun bermula pada jam 6.30 pagi hingga program selesai.
“Jalan yang dimaksudkan adalah Jalan Market ke Jalan Masjid, Jalan Gambier ke Jalan Power, Jalan Old Court House ke Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Carpenter, Jalan Wawasan ke Jalan Lebuh Wayang, Jalan Lebuh Wayang ke Jalan Main Bazaar, Jalan Padungan ke Jalan Bukit Mata, Lampu Isyarat Jalan Abell ke Jalan Petanak dan Bulatan Sri Aman ke susur masuk Jalan Abell.
“Seramai 427 anggota akan ditugaskan bagi mengawal trafik dan perjalanan Perarakan Gawai Dayak 2024 pada Sabtu ini.
“Daripada jumlah tersebut, 42 daripadanya adalah pegawai kanan manakala 385 merupakan pegawai rendah polis yang mana akan bertugas sepanjang program berlangsung,” katanya.
Bagi memudahkan perjalanan program ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sepanjang jalan dan venue berlangsung.
“Atas dasar keselamatan, pihak PDRM menasihati orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran dan perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terlebih dahulu,” katanya.
Pengunjung yang hadir disarankan untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan awam seperti Reservior Park, Bangunan Saujana, Taman Budaya, Medan Letak Kereta Top Spot, Medan Letak Kereta Sarawak Plaza, Dewan Suarah, Bangunan Tun Jugah, Bangunan Medan Pelita, Medan Letak Kereta Plaza Merdeka dan Medan Letak Kereta Plaza Aurora.
Oleh Nur Ain Otsman