KUCHING: Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh menerima Anugerah Khas Premier Sarawak pada acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini hari ini.
Kadir, bekas Pengarang Bersekutu Berita Harian di Kuala Lumpur, adalah antara tujuh wartawan menerima anugerah itu, masing-masing menerima RM3,000 dan plak.
Anugerah HAWANA 2024, diberikan kepada bekas wartawan kanan The New Straits Times (NST), James Ritchie dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), masing-masing dengan hadiah wang tunai RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada wartawan dan pengamal media tempatan serta luar negara selain pelbagai wakil agensi.
Kadir adalah antara anak Sarawak memegang jawatan kanan dalam organisasi media di peringkat nasional dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) Berita Harian di Kuala Lumpur sebelum bersara pada 2021 dan meneruskan kerjaya di Utusan Sarawak sejak 2022.
Enam lagi wartawan menerima hadiah anugerah khas itu.
Mereka adalah bekas Ketua Pemberita dan Editor Tugasan RTM Sarawak, Alice Wee Siok Lian; bekas Pengurus Besar Chinese Daily News, Johnny Loh Kee Kong; Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, M Rajah; wartawan Kanan Malay Mail, Sulok Tawie; bekas Editor Eksekutif Utusan Sarawak, William Chan dan juru gambar akhbar The Star, Zulazhar Sheblee.
HAWANA 2024, acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Hadir sama beberapa menteri kabinet persekutuan dan negeri.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Oleh Shahrul Qaizat & Nickelyson Lakun