KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menyambut baik inisiatif bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dan juga persekutuan dalam meringankan beban rakyat ketika berdepan dengan penularan wabak Covid-19 ini.
Pengerusi SHEDA, Dr. Christopher Ngui berkata, SHEDA bagaimanapun, memohon pihak kerajaan untuk melihat juga kesulitan yang dialami oleh golongan pemaju di negeri ini.
“Pihak kami telah menulis surat rayuan kepada Ketua Menteri dan juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk mempertimbangkan bantuan kewangan dan bantuan lain secara menyeluruh untuk ahli-ahli SHEDA.
“Antara permintaan daripada pihak kami ialah membolehkan majikan yang berhadapan dengan kesulitan kewangan untuk mengurangkan bayaran gaji atas persetujuan daripada pekerja,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Christopher, selain itu, SHEDA turut memohon supaya majikan dibenarkan mengurangkan waktu kerja atau meminta pekerja supaya bercuti tanpa gaji semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 bagi mengelakkan keperluan pemberhentian pekerja.
Tambahnya, semua pilihan ini perlu disediakan oleh kerajaan negeri untuk memastikan kelestarian dan kebolehcapaian perniagaan ahli-ahli SHEDA.
Selain itu, katanya, SHEDA turut memohon supaya pemaju dibenarkan menggunakan dana dalam Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) serta membenarkan perjanjian istimewa mengenai kewajipan bagi pemaju untuk membayar Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan (LAD) bagi tempoh kelewatan.
Kerajaan Sarawak juga katanya dipohon untuk membenarkan pemaju yang sedang menjalankan projek pembinaan melanjutkan tempoh siap minimum sehingga sembilan 12 bulan.
Dalam surat bekenaan juga, SHEDA memohon kerajaan untuk menyediakan pakej dana khas sehingga RM250 juta bagi keseluruhan industri di Sarawak bagi membantu pemaju yang terkesan untuk menyiapkan projek-projek yang sedang dibina.
Pinjaman melalui dana khas ini katanya, boleh dibayar balik setelah selesai projek.
Antara lain yang dipohon oleh SHEDA ialah pengurangan dan penyeragaman harga minimum untuk pembeli asing di Sarawak dan tidak membuat pemotongan ke atas Pemilikan Asing sebanyak RM550,000, melanjutkan tempoh premium penukaran setelah selesai projek, dan membenarkan pengecualian enam bulan untuk emua bil utiliti seperti elektrik, air dan juga cukai taksiran serta cukai tanah.
Oleh yang demikian, katanya, SHEDA berharap kerajaan akan dapat mengambil pendekatan holistik dan mengeluarkan pakej rangsangan kewangan yang dapat mengurangkan masalah dihadapi oleh pemaju perumahan dan hartanah di negeri ini, ujar Christopher.