KOTA SAMARAHAN: Pembangunan kompleks SARA Cocoa Cluster di Lembaga Koko Malaysia, Kota Samarahan bakal siap sepenuhnya pada bulan Oktober ini.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Willie Mongin berkata, SARA Cocoa Cluster adalah kawasan penanaman koko yang tertumpu di Sebuyau, Asajaya, Kota Samarahan dan Padawan yang turut melibatkan kawasan parlimen Puncak Borneo.
“SARA Cocoa Cluster dicadangkan untuk diperluaskan lagi sehingga merangkumi kawasan Tebedu dan Serian.
“Di Sarawak, keluasan tanaman koko adalah seluas 860 hektar dengan seramai 1, 138 orang pekebun kecil koko,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Lembaga Koko Malaysia, Kota Samarahan, semalam.
Tambahnya, program pembangunan ini merupakan ‘game changer’ di peringkat huluan koko yang telah dirangka oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan dilaksanakan mengikut konsep ‘Farm to Table’ iaitu model ‘beans to chocoloate.’
“Melalui pelaksanaan program ini, pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha koko serta komuniti setempat dapat ditingkatkan.
“Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi bagi tanaman baru yang berpotensi untuk dimajukan,” ujarnya lagi.
Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pekebun kecil yang hendak meluaskan kebun atau menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggarakan.
“Permintaan koko negara kita meningkat setiap tahun, jelas ini menunjukkan industri ini masih relevan.
“Sebagai pengeluar biji koko minor, kita harus berbangga kerana kebanyakan sampel dari negara kita tergolong dalam 50 sampel terbaik dunia,” jelasnya lagi.
Kementeriaanya juga akan berusaha untuk meningkatkan harga koko di peringkat antarabangsa dengan mengadakan rundingan bersama negara pengeluar koko sekali gus berbincang menstabilkan harga komoditi ini di peringkat pasaran dunia.
Oleh Nur Ain Otsman