MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri terus diserbu pelanggan bagi menyelesaikan urusan tertunggak.
Orang ramai sudah beratur di luar pagar jabatan berkenaan seawal 6.00 pagi.
Sejak kaunter JPJ Cawangan Miri dibuka bagi semua urus niaga bermula 18 Mei lepas, kaunter jabatan itu diserbu orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.
Tinjauan Utusan Sarawak pada 8.00 pagi mendapati orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan dengan menjalani saringan suhu badan sebelum dibenarkan berurusan di kaunter jabatan itu.
Jurucakap JPJ Cawangan Miri berkata, orang ramai tidak perlu panik dan menyerbu kaunter jabatan itu bagi membaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan penangguhan diberikan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.
“Selepas PKPB ditamatkan, tempoh 30 hari juga akan diberikan kepada orang ramai untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Jadi orang ramai tidak perlu tergesa-gesa dan berbaris panjang di JPJ.
“Apa yang penting adalah insurans kenderaan mesti diperbaharui sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan,” katanya.
Selain itu, katanya, jabatan itu beroperasi tujuh hari seminggu bagi membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan di kaunter.
Pada hari bekerja perkhidmatan dibuka bermula 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
Manakala, hujung minggu (Sabtu dan Ahad) bermula 8.00 pagi hingga 1.00 petang dengan pembayaran hanya secara e-payment sahaja.
Oleh Liong Chai Ling