KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan MADANI hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham bekas bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Sarawak di atas kehilangan itu.
“Berdukacita atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi.
“Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati,” kata Perdana Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya.
“Al-Fatihah,” katanya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi.
Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan. – Bernama