KUALA LUMPUR: Atlet olahraga para negara Muhammad Faiz Haizat Rosdi meraih pingat emas di Kejohanan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Pemenang pingat perak Sukan Para Asean 2022 itu muncul juara acara 400 meter (m) T38 (masalah koordinasi) apabila mencatatkan 56.84 saat (s) meninggalkan pesaing lain pada kejohanan berkenaan.
Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Andreas Beros dari Cyprus (58.14s) dan Antonio Kosmat dari Croatia (59.46s).
Dalam pada itu, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi turut menceriakan kem olahraga negara selepas meraih pingat perak bagi acara 400m T20 (kecacatan intelektual), dengan catatan masa 50.16s.
Emas acara itu dirangkul Yovanni Philippe dari Mauritius (49.84s) manakala gangsa diraih Columba Blango dari Britain (50.52s).
Sementara itu, atlet elit olahraga Eddy Bernard turut meraih kedudukan podium di kejohanan tersebut dengan meraih gangsa acara lompat jauh (T42/T44/T61), mencatatkan lompatan sejauh 6.42m.
Wakil Sri Lanka Indika Gamage meraih emas (6.62m) manakala wakil Rusia Dzmitry Bartashevich merangkul perak (6.50m). – Bernama