KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila kebanyakan peniaga menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang pertama bagi 2024, dijadual diadakan hari ini dan esok.
Pada 9.05 pagi, ringgit turun kepada 4.7350/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7280/7335 ketika ditutup, semalam.
Pengarah Urusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, tumpuan utama bagi minggu ini adalah mesyuarat bank pusat di beberapa negara termasuk Malaysia dan Jepun serta zon euro.
“Walaupun dijangka tiada perubahan ketara dilakukan terhadap dasar monetari pasaran maju namun, angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang kukuh bagi suku keempat mungkin mendorong kadar faedah AS mengalami kenaikan sederhana, sekali gus menawarkan sedikit sokongan kepada mata wang itu.
“Peniaga akan mengikuti rapat perkembangan ini untuk menilai impaknya terhadap ringgit dan mata wang negara lain,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata kebanyakan peniaga juga memantau dengan teliti data makroekonomi AS yang akan datang, termasuk KDNK suku keempat (dijangka pada 25 Januari) dan deflator Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS (26 Januari).
“Angka ini berpotensi membentuk jangkaan mengenai potensi penurunan kadar faedah AS pada Mac, yang seterusnya boleh melemahkan dolar AS dan mengukuhkan ringgit,” katanya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik susut berbanding yen Jepun kepada 3.1972/2008 daripada 3.1918/1957 ketika ditutup pada Isnin, dan rendah berbanding pound Britain kepada 6.0196/0260 daripada 6.0065/0134.
Mata wang tempatan juga diniagakan lemah berbanding euro kepada 5.1526/1581 daripada 5.1516/1576 semalam.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5291/5331 daripada 3.5252/5298 ketika ditutup semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2931/3131 daripada 13.2493/2706.
Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.7/303.2 daripada 302.3/302.8 semalam namun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.42. – Bernama