KUALA LUMPUR: Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, dengan cenderung untuk mengalami kenaikan harga yang kecil sedikit disebabkan oleh hujan yang berterusan di negara-negara pengeluar getah.
Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata, prospek di seluruh dunia kekal lembap, dan ini bermakna pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap urus niaga komoditi berkenaan.
“Akan ada permintaan sekali-sekala berdasarkan kecenderungan penambahan dan bukannya peningkatan jumlah penggunaan yang ketara. Dinamik penawaran dan permintaan akan hampir sama di antara satu sama lain,” katanya kepada BERNAMA.
Low juga berkata, situasi tegang di laluan maritim Laut Merah telah mengganggu kapal dagangan dengan ketara, menyebabkan perjalanan mengambil masa yang lebih panjang dan meningkatkan kos.
Selain itu, beliau berkata, perlu diingatkan bahawa permulaan musim sejuk yang awal pada pokok getah di banyak wilayah mungkin nyata dan boleh berlaku sejurus selepas hujan monsun.
“Oleh itu, peniaga dan stokis mungkin perlu menyimpan stok pada masa hadapan,” katanya.
Tambahan pula, Low berkata, situasi geopolitik semasa juga telah mendorong harga di luar jangka untuk komoditi tertentu sambil mengurangkan beberapa permintaan.
Bagi minggu dagangan baharu berakhir, pasaran getah tempatan kebanyakannya diniagakan lebih tinggi, menjejaki pasaran hadapan getah serantau, harga minyak mentah dan ringgit yang semakin lemah berbanding dolar AS.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 17.5 sen untuk menutup minggu ini pada 721.5 sen sekilogram berbanding 704.0 sen sebelumnya, manakala susu getah pukal naik 25.5 sen untuk menutup dagangan kepada 594.0 sen sekilogram daripada 568.5 sen sebelumnya.
Pada 5.00 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 721.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 597.0 sen sekilogram. – Bernama