OCI TerraSus penerima pertama bekalan gas asli Petros di Samalaju

Facebook
WhatsApp
Chung dan Victor bertukar dokumen selepas majlis menandatangani perjanjian. Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengarah Kanan (Perniagaan Strategik) OCI TerraSus, Baek Jae Wook dan Pengurus Besar (Komersial) Petros, Ahmad Zaidi Hatta. Foto OCI TerraSus.

KUCHING, 11 November: OCI TerraSus menjadi pelanggan industri pertama di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), Bintulu yang menerima bekalan gas asli daripada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menerusi perjanjian jual beli gas yang dimeterai hari ini.

Perjanjian berkenaan membolehkan bekalan gas asli disalurkan ke loji OCI TerraSus bagi menyokong operasi dandang serta penghasilan stim yang diperlukan dalam proses pengeluaran syarikat itu.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Presiden OCI TerraSus, Chung Seung Yong dan Naib Presiden Kanan Aset Petros, Victor Maiyor pada majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di sini.

Kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas akses kepada bekalan gas asli untuk pengguna industri di kawasan Samalaju.

Bekalan gas berkenaan disokong oleh Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) serta projek Saluran Paip Lingkaran Taman Perindustrian Samalaju (SIPR) yang bakal dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian pengagihan gas ke kawasan perindustrian berkenaan.

Bagi OCI TerraSus, akses kepada gas asli membolehkan syarikat itu mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan daya tahan operasi serta menambah baik kecekapan dan daya saing kos dalam penghasilan stim.

Langkah itu juga dijangka menyokong kesinambungan aktiviti pengeluaran serta kemampanan operasi syarikat dalam jangka panjang.

OCI TerraSus merupakan anak syarikat milik penuh OCI Holdings dari Korea Selatan yang menghasilkan polisilikon gred solar berketulenan tinggi, iaitu bahan mentah penting dalam pembuatan wafer silikon dan sel fotovolta (PV) untuk panel solar.

Syarikat itu mempunyai pejabat di Kuching, manakala operasi pengeluarannya terletak di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Oleh Shikin Mahmud