NEW DELHI: Kemaraan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Kejohanan Badminton Super 750 Terbuka India terhenti setakat aksi separuh akhir yang berlangsung di sini, malam tadi.
Beregu nombor empat dunia itu tewas kepada wakil tuan rumah Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 18-21, 14-21 dalam perlawanan separuh akhir itu.
Pasangan India itu akan bertemu dengan juara beregu lelaki dan Juara Dunia tahun lepas Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang mengalahkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-19, 21-14.
Aaron-Wooi Yik berjaya melangkah ke final kejohanan sama tahun lepas.
Dalam separuh akhir perseorangan lelaki, pemain nombor 18 dunia Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong mengejutkan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2023 Kodai Naraoka dari Jepun 21-13, 15-21, 21-19. Lee akan berhadapan dengan pemain nombor dua dunia Shi Yu Qi dari China yang menundukkan wakil India H.S. Prannoy 21-15, 21-5.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita Tai Tzu Ying mara ke final Jelajah Dunia dua kali berturut-turut selepas menewaskan wakil Singapura Yeo Jia Min 21-13, 21-18.
Wakil Taiwan itu yang terlepas gelaran juara pada Terbuka Malaysia di tangan An Se Young dari Korea Selatan, akan menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Chen Yu Fei dari China yang menumpaskan rakan senegara Wang Zhi Yi 21-13, 21-18.
Final beregu wanita pula akan menyaksikan perlawanan antara Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun yang mengejutkan beregu nombor dua dunia dari Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee 21-13, 21-16, dengan wakil China Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang mengalahkan rakan senegara Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan 19-21, 21-17, 21-18.
Dalam beregu campuran, pasangan nombor lima dunia Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China menundukkan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan 21-19, 21-18.
Pada perlawanan akhir mereka nanti akan menentang Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand yang menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan 18-21, 21-15, 21-19 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. – Bernama