EARL ANEK
BINTANGOR: Peruntukan sebanyak RM5 juta dilukuskan oleh kerajaan untuk menaik taraf Jalan Kelupu, Batu Empat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Katanya, kerja menaik taraf jalan tersebut sudah bermula untuk fasa yang pertama.
“Naik taraf jalan ini adalah sebahagian dari usaha bagi menyediakan keselesaan kepada pengguna jalan raya.
“Selain itu, ia adalah usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kerap berlaku di laluan sepanjang 1.3 kilometer tersebut,” katanya.
Ujarnya, beliau berharap projek fasa yang pertama ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan.
“Projek naik taraf jalan ini adalah membuktikan kerajaan tidak mengabaikan keperluan rakyat yang memerlukan jalan raya yang lebih selesa untuk dilalui dan laluan yang lebih selamat kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi memantapkan lagi usaha kerajaan untuk membangunkan Meradong, beliau menyeru rakyat di Meradong untuk terus bersatu dan bekerjasama dengan kerajaan.
“Kerjasama padu dari rakyat dan semua pihak amatlah sangat penting bagi memastikan pembangunan di Meradong dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya lagi.