NEW DELHI: Import minyak makan India dijangka pulih pada Jun selepas penurunan mendadak semasa sekatan pergerakan di seluruh negara untuk membendung Covid-19 pada April dan Mei, menurut pakar industri.
India dijangka membeli 1.14 juta tan minyak sayuran pada bulan ini berbanding purata sebanyak 865,000 tan pada dua bulan sebelumnya, kata Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai, semasa webinar mengenai impak pandemik terhadap industri tersebut.
Pada pandangan beliau, tebaran harga pada masa ini dilihat menarik untuk minyak sawit mentah (MSM) dan dengan pembatalan banyak permit import untuk produk bertapis oleh kerajaan baru-baru ini akan membawa kepada lebih banyak pembelian MSM oleh kilang penapisan India.
Sekatan pergerakan untuk memerangi penularan Covid-19 telah menjejaskan industri perkhidmatan makanan India, menyebabkan pengurangan yang ketara dalam penggunaan komersial minyak sawit.
Apabila kerajaan melonggarkan peraturan untuk membuka semula perniagaan, permintaan dijangka pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ia akan mengambil masa setahun untuk pasaran kembali normal, kata Eksekutif Kanan syarikat gergasi produk pengguna, ITC Ltd (ITC), Shiv Kumar.
Banyak permintaan perkhidmatan makanan telah ditukar kepada penggunaan dalaman dan ITC akan menumpukan kepada makanan yang dibungkus dan sedia dimakan, kata Kumar semasa webinar tersebut.
Beliau berkata perubahan dalam tabiat makanan akan menentukan pilihan terhadap minyak sayuran. – Bernama