KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang merancang untuk melaksanakan proses pengambilan tanah milik Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi membolehkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dilakukan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, MOT bakal mengemukakan permohonan peruntukan pengambilan tanah itu yang terletak bersebelahan LTAK, di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada tahun depan.
“Perancangan naik taraf LTAK hanya akan dapat dilaksana setelah kerja pengambilan tanah ini diselesaikan. Ini kerana terdapat beberapa fasiliti sedia ada terletak dalam kawasan terlibat dalam projek naik taraf perlu dipindahkan terlebih dahulu ke kawasan tanah SMA yang dibuat pengambilan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang mahu tahu perancangan MAHB bagi menaik taraf LTAK dan Lapangan Terbang Miri memandangkan jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak semakin meningkat.
Beliau berkata, pada masa ini kapasiti terminal sedia ada di LTAK ialah sebanyak lima juta penumpang setahun (mppa) dengan pergerakan penumpang dicatatkan sebanyak 5.9 mppa iaitu 19 peratus melebihi kapasiti reka bentuknya pada 2019.
Hasbi berkata pada 2022 pula, KIA mengendalikan 4.3 juta penumpang.
Berhubung cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Miri, Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan sebelum ini menyenaraikan projek menaik taraf lapangan terbang itu di bawah Rolling Plan Keempat, RMK-12 sebagai satu daripada projek kementerian yang diberi keutamaan untuk dilaksanakan.
“Cadangan ini melibatkan pertambahan kapasiti terminal daripada dua juta penumpang setahun ke tiga juta setahun. Walaubagaimanapun mengambil kira pengumuman terkini Belanjawan 2024, MOT akan terus kemukakan permohonan ini dalam Rolling Plan Kelima RMK-12 pada tahun depan,” katanya. – Bernama