KUCHING: Warga media negeri ini perlu memainkan peranan bagi membantu Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) menyebarkan kesedaran kepentingan kanak-kanak berkeperluan khas.
Pengetua PERKATA, Wendy Mandau berkata, masih ramai masyarakat di negeri ini belum peka akan keperluan anak-anak ‘istimewa’ ini.
“Selain itu, masih ramai juga yang belum tahu bahawa mereka ini sekiranya diberikan pendidikan yang betul, mereka juga boleh bekerja.
“Ada bekas pelajar kami kini sudah bekerja di kedai makan sebagai pelayan tetamu. Ini membuktikan bahawa mereka boleh bekerja, namun hanya kerja biasa seperti pelayan dan tukang bersih.
“Jadi saya meminta agar warga media untuk hadir ke sini melihat sendiri aktiviti harian kami agar boleh menceritakannya kepada masyarakat di luar sana.
“Masih ramai lagi masyarakat di luar sana tidak tahu tentang PERKATA, jadi melalui bantuan media, mungkin lebih ramai masyarakat di negeri ini lebih tahu tentang kami,”katanya.
Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Utusan Sarawak kerana memilih untuk membantu PERKATA dalam program ‘Sarawak’s 60 Iconic Businesses’.
“Saya bagi pihak PERKATA ingin mengucapkan terima kasih kepada Utusan Sarawak kerana membantu kami dalam meringankan beban khususnya dari segi kewangan.
“Kami mempunyai 81 pelajar, 26 kakitangan di PERKATA. Perbelanjaan tahunan kami melebihi pendapatan kami. Dengan bantuan Utusan Sarawak ini, sedikit sebanyak meringankan beban kami.
“Perbelanjaan kami setiap bulan boleh mencapai lebih kurang RM60,000. Ini adalah perbelanjaan aktiviti pelajar dan untuk membayar gaji pekerja kami.
“Geran daripada Jabatan Kebajikan kebanyakkannya untuk penganjuran aktiviti pelajar dan bukan untuk membayar gaji pekerja kami. Oleh itu, kami terpaksa mencari ikhtiar sendiri untuk mendapatkan bantuan daripada syarikat swasta.
“Selain itu, kami juga membuka Galeri PERKATA dan menganjurkan aktiviti seperti hari jualan terbuka, konsert muzik amal serta aktiviti berzumba bagi membantu kami mengumpul dana bagi kelangsungan PERKATA,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat