• Iktiraf kerja keras, kisah kejayaan syarikat ikonik di Sarawak
KUCHING: Utusan Sarawak hari ini melancarkan satu program khas iaitu ‘Sarawak’s 60 Iconic Businesses’ bagi mengumpul dana bertujuan membantu Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian serta Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA).
Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo berkata program juga bertujuan mengiktiraf kerja keras di sebalik semua kisah kejayaan syarikat ikonik di negeri ini.
Katanya, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian bukan sahaja berpeluang untuk dipromosikan melalui akhbar Utusan Sarawak, malah mereka juga bakal menjadi sebahagian daripada usaha murni agensi media tersebut dalam membantu PERKATA dan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
“Dana yang terkumpul melalui program ini nanti sebahagiannya akan disalurkan kepada dua organisasi tersebut.
“Kami menganjurkan program ini bukanlah ingin mengejar nama mahupun populariti, malah kami menyedari bahawa badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKATA dan persatuan seperti Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian memerlukan bantuan dan ini adalah usaha kami sebagai sebuah syarikat untuk membantu komuniti seperti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak selepas majlis pelancaran rasmi ‘Sarawak’s 60 Iconic Businesses’ di Ibu Pejabat Utusan Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Ivy Ngo, penganjuran program ini dilihat sebagai satu titik permulaan untuk Utusan Sarawak agar terus berkhidmat kepada komuniti khasnya kepada pihak yang memerlukan.
Sementara itu, menurut Pengurus Program tersebut, Charles Lee, satu majlis makan malam gala dijangka akan diadakan pada April tahun depan bagi menghargai pihak korporat yang menyertai program tersebut.
Selain itu, penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Utusan Sarawak ini turut diadakan sempena 60 tahun Sarawak merdeka.
Oleh Shahrul Qaizat