FAIZAL BUJANG
MESKIPUN saingan liga Piala Presiden 2020 sah ditamatkan beberapa hari lepas, ia bukan noktah buat pemain skuad Sarawak United III untuk membawa haluan masing-masing.
Sebaliknya, masih ada tugasan penting menanti mereka selepas ini iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung 4 hingga 16 Mac 2021.
Justeru, tempoh masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin bagi mengemaskini jentera yang sedia terbentuk dalam menghadapi temasya dwi tahunan negara itu.
Pengurus Pasukan Sarawak United III, Phillip Jabu menegaskan, fokus pemainnya selepas ini terarah kepada persiapan memantapkan diri bagi menghadapi kejohanan itu.
“Fokus kita selepas ini ialah mahu memantapkan jentera di segenap posisi untuk menghadapi SUKMA XX Johor 2020.
“Dengan tempoh masa yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin bagi tujuan tersebut,” kata Phillip ketika ditemui di kediamannya di Serian semalam.
Beliau percaya pengemudi pasukan Ahmad Fairus Mohd. Yunus sudah bersedia ke arah itu dan hanya menunggu kebenaran bagi memulakan sesi latihan semula yang terhenti lebih dua bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Sementara itu, Phillip yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyambut baik keputusan badan induk tertinggi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamatkan saingan liga berkenaan.
Katanya, ia adalah langkah yang tepat mengambil kira keadaan negara dan dunia yang tidak menentu ekoran penularan virus Covid-19.
“Saya melihat ia satu langkah yang tepat kerana keselamatan semua pihak perlu diutamakan dalam situasi negara serta dunia yang dibelenggu kebimbangan ekoran penularan virus Covid-19,” tambah beliau.