KUALA LUMPUR: Hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil untuk menjalani khidmat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekiranya ia dilaksanakan pada 2024.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan memaklumkan pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran tertentu bagi memulakan PLKN 3.0.
“Secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan itu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai PLKN atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.
“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun. Mindef berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” menurut Mindef.
Pada Okt lepas, kerajaan bersetuju meneruskan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih. – Bernama