PETALING JAYA: Mercedes-Benz sedang melakukan persiapan untuk peralihan penawaran daripada kenderaan elektrik (EV) terutamanya kepada EV secara eksklusif menjelang 2039 dengan matlamat bagi mencapai pengecualian karbon sepenuhnya yang merentasi aktiviti dagangan harian dalam pasukan jualannya.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Mercedes-Benz Malaysia Amanda Zhang berkata adalah penting untuk memulakan perbincangan mengenai usaha itu pada masa sekarang walaupun 2039 masih jauh.
“Perbincangan mengenainya perlu dimulakan seawal mungkin agar dapat mengambil maklum dan memperakui bahawa kita sedang memulakan perjalanan transformasi yang signifikan.
“Saya juga sentiasa menasihatkan pasukan saya jika mereka tidak berminat untuk menerimaguna perubahan transformatif itu sekarang, maka mereka perlu meneliti semula penglibatan dalam industri automotif ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes-Benz EQS 580 4M serba baharu di sini, hari ini.
Zhang juga menyifatkan skala transformasi yang dipacu oleh Mercedes-Benz Malaysia adalah jelas melangkaui syarikat itu serta sektor automotif berkenaan.
“Ini merangkumi usaha mewujudkan kerjasama baharu melibatkan kalangan pembuat kereta, pembekal, syarikat tenaga, entiti politik, media serta masyarakat secara keseluruhannya.
“Kita juga percaya lebih awal membincangkan harapan dan impian ini, maka lebih cepat juga kita dapat mewujudkan objektif yang jelas serta memulakan proses transformasi.
“Pada masa sama, kita juga amat serius dalam mematuhi strategi berkaitan, termasuklah di Malaysia,” katanya. – Bernama