SHAH ALAM: Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikatnya, Impeccable Vintage Properties (IVP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membina dua hangar pesawat seluas 2.8 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif IVP, M Fuad Sharuji berkata kerjasama itu dijangka merancakkan lagi industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dekat sini.
“Jumlah keluasan tanah IVP adalah 40 hektar namun, ada kira-kira 1.6 hektar belum diteroka dan bersempadan dengan tanah UniKL (dimiliki sepenuhnya oleh MARA).
“UniKL pula mempunyai lebih kurang 1.2 hektar dan jika digabungkan akan menjadi 2.8 hektar yang boleh dijadikan hangar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU itu di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023, semalam.
Pada majlis sama, IVP turut memeterai MoU kerjasama dengan Malaysia Airlines Group (MAG) bagi pengoperasian hangar empat yang berkeluasan 220,000 kaki persegi sebagai pusat MRO di LTSAAS.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada MAG untuk mewujudkan hangar penyelenggaraan di Subang (LTSAAS) selain, dua hangar di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.
Pemeteraian kedua-dua MoU itu turut dihadiri oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris.
SAS 2023 selama tiga hari sehingga hari ini, menempatkan hampir 50 pesawat statik selain 119 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Denmark, Singapura dan Hong Kong yang mengambil bahagian tahun ini.
Pengunjung boleh melayari media sosial SAS 2023 di Facebook, Instagram dan Linkedln (@selangoraviationshow) serta Twitter (@SelAviationShow) bagi mendapatkan maklumat lanjut. – Bernama