“Saya tunggu mami, saya tunggu mami” – Ibu Debra

Facebook
WhatsApp
SEBAK… Ibu mendiang Debra Moset, Renog Rasas, 71, kelihatan sebak ketika mengenang anaknya yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.

PADAWAN: “Saya tunggu mami, saya tunggu mami.” Itu kata-kata yang sering diucapkan anak bongsu mendiang Debra Moset selepas kehilangan ibunya dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.

Ibunya, Renog Rasas, 71, berkata mendiang merupakan anak keempat daripada enam beradik dan sejak kecil, anak-anak Debra dijaganya di kampung.

Menurutnya, kali terakhir mendiang pulang ke kampung minggu lalu, Debra kelihatan sangat gembira apabila mereka dapat memasak dan makan bersama-sama, selain meluangkan masa menjaga anak-anaknya.

“Dia balik minggu lalu, dia sangat gembira. Kami masak-memasak, makan bersama-sama dan jaga anak-anak dia.

“Kemudian dia beritahu saya, ‘Mami, saya perlu balik ke Miri dulu, saya akan bekerja semula. Jangan terlalu sibuk dengan kami.’ Saya kata tidak apa, pergilah sebab kamu perlu bekerja,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga, hari ini.

Renog berkata, mendiang kembali ke Miri pada 3 September kerana perlu bertugas pada keesokan harinya sebelum dihantar menjalankan tugasan ke Long Lellang.

Katanya, sebelum berlepas ke kawasan pedalaman itu, mendiang sempat menghubunginya dan meminta supaya membantu mengemas rumah baharunya sebagai persiapan untuk sambutan Krismas bersama keluarga.

“Dia mesej saya dan minta saya tolong kemas rumah baharunya di sini kerana kami akan sambut Krismas di sini. Dia juga suruh saya tinggal bersama cucu-cucu.

“Dia hubungi saya sebelum penerbangan kerana selepas pergi ke kawasan pedalaman, kami mungkin tidak dapat menghubunginya,” katanya.

Renog berkata, Debra sudah lama bekerja di Miri dan pernah menjalani latihan ketika masih bujang sebelum bertugas di Suai serta menyertai pasukan Perkhidmatan Doktor Udara ke Long Lellang.

Mengenai berita nahas itu, Renog berkata suami mendiang memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarga kira-kira 4.00 petang pada hari yang sama.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kami tahu dia sudah kembali ke sana dan saya sendiri kata pergilah bekerja, jangan risau tentang anak-anak kerana saya akan jaga mereka,” katanya.

Menurutnya, anak-anak mendiang sudah lama berada dalam jagaannya dan setiap kali Debra mendapat cuti seperti Krismas atau Gawai, mendiang akan pulang ke kampung.

Renog berkata, dia juga dinasihatkan doktor supaya tidak melihat jenazah mendiang kerana keadaan jasad yang sukar dikenal pasti, sebelum sampel darahnya diambil bagi tujuan ujian DNA untuk pengesahan identiti.

“Saya sebenarnya mahu bercakap, tetapi mesti menangis. Saya terkenangkan anak-anaknya yang masih belajar.

“Doktor tidak menggalakkan saya melihatnya. Saya pun tidak berani. Badannya sudah hancur dan hanya rantai serta cermin mata yang tinggal. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, dia tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Renog berkata, kejadian itu amat mengejutkan kerana mendiang baru sahaja pulang dan meluangkan masa bersama keluarga dalam keadaan ceria.

“Dia sangat baik. Anak bongsunya selalu menangis memanggil emaknya. Dia selalu berkata, ‘Saya tunggu mami, saya tunggu mami.’

“Anak saya itu masih berkata, ‘Mummy saya masih di sini. Masih hidup’,” katanya dalam nada sebak.

Oleh Shikin Mahmud