KUALA LUMPUR: Penggunaan setem pelekat (Setem Hasil) dan mesin franking pos oleh pengguna luar seluruh Malaysia sebagai kaedah penyeteman ke atas dokumen atau perjanjian akan ditamatkan mulai 1 Januari 2024.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayar duti dibenarkan untuk menggunakan Setem Hasil bagi urusan penyeteman dokumen atau perjanjian sehingga 31 Disember 2023 sahaja dan dinasihatkan untuk menghabiskan Setem Hasil yang berada dalam simpanan masing-masing.
“Bagi sebarang Setem Hasil yang tidak digunakan, tiada tuntutan bayaran balik dibenarkan atau diganti dengan wang tunai.
“Permohonan penyeteman dan pembayaran duti setem boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal Sistem Taksiran Dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) di pautan https://stamps.hasil.gov.my tanpa perlu hadir ke kaunter duti setem,” menurut kenyataan itu.
Katanya, individu warganegara dan penduduk tetap yang mempunyai fail cukai pendapatan boleh membuat pendaftaran ID Pengguna STAMPS, permohonan taksiran dan bayaran duti setem secara dalam talian melalui portal STAMPS.
Pendaftaran fail cukai individu pula boleh dibuat melalui e-Daftar di pautanĀ https://edaftar.hasil.gov.my., menurut LHDN. – Bernama