KUCHING: Sebanyak 16 unit papan tanda iklan milik pelbagai syarikat dan perniagaan tanpa kelulusan di sekitar kawasan komersial beberapa taman telah dicabut dan disita menerusi Ops Cabut yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), semalam.
MPP dalam laman sosial menerusi Facebook rasminya memaklumkan operasi melibatkan kawasan komersial di sekitar Taman Genesis, Taman Green Acres, sepanjang jalan lampu isyarat Batu Kawa-Malihah dan Malihah-Matang.
Menurut kenyataan itu, papan tanda iklan tersebut kebanyakan didirikan di sepanjang jalan utama serta menghalang pandangan keluar dari simpang jalan dan juga lampu isyarat.
Justeru, MPP menasihatkan mana-mana pihak baik syarikat, premis perniagaan dan individu persendirian yang ingin mendirikan dan mempamerkan iklan papan tanda untuk memohon kebenaran dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pihak majlis.
Pihak majlis turut memaklumkan bahawa perbuatan mendirikan atau mempamerkan papan tanda iklan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa lesen yang di keluarkan oleh PBT adalah satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan (Iklan) 2012.
Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan.