Pemain remaja, Kai Havertz memecahkan rekod Bundesliga awal pagi semalam ketika menjaringkan gol kemenangan 1-0 di Freiburg sekali gus membawa Bayer Leverkusen ke tangga ketiga liga.
Havertz, 20, menjadi pemain pertama dalam sejarah liga mencipta 35 gol sebelum berusia 21 tahun apabila meledak jaringan lapan minit selepas rehat selepas bergandingan dengan Leon Bailey dan mengatasi pertahanan, Dominique Heintz.
Pemain Jerman itu juga bergelar pemain termuda melakukan 50 dan 100 penampilan dalam liga utama Jerman dan pemain termuda menjaringkan gol dalam liga buat Leverkusen pada 2017.
Jaringan Havertz ialah yang kelima dalam empat penampilan sejak Bundesliga bersambung berikutan perintah berkurung dan meletakkan Leverkusen satu mata di depan pasukan keempat liga, RB Leipzig yang akan berkunjung ke Cologne malam Isnin ini.
Mereka juga tiga mata di depan Borussia Moenchengladbach di tangga kelima menjelang pertemuan dengan Union Berlin esok.
Gol Havertz adalah cubaan pertama tepat ke sasaran dalam pertembungan itu dengan Freiburg sepatutnya mampu mengutip satu mata.-AFP