PASUKAN Todak Berjaya milik NHK Legacy dijulang sebagai ‘Raja Sungai’ apabila mengungguli saingan akhir acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki pada Regata Kalaka 2023 yang berlangsung sengit di Tebingan Air Sungai Krian Saratok, petang semalam.
Ternyata kayuhan bertenaga pasukan dari Kampung Tuie Saribas itu menjadi tumpuan sekitar 3,000 pengunjung yang hadir sebaik sahaja dilepaskan dari garisan permulaan membuahkan hasil, meskipun ditentang hebat oleh pasukan Khazanah milik Kadir Manap dan tempat ketiga pasukan Barracuda milik Awang Nasparini Awang Sebini.
Bagaimanapun, perahu Todak Berjaya terus meluncur laju menuju ke garisan penamat sekali gus mengesahkan kejuaraan penuh bersejarah menjadi milik mereka.
Kejayaan itu membolehkan pasukan Todak Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, piala kejuaraan dan sebuah trofi.
Pasukan Khazanah yang terpaksa akur di tempat kedua sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000, piala dan trofi.
Bagi Bidar 25 dimenangi oleh Barracuda 1 diikuti Todak Berjaya sebagai naib juara dan Cahaya Helang Tasik di tempat ketiga.
Sementara Bidar 15, Todak Berjaya muncul sebagai juara, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Lanun Dinara Cut dan Khazanah.
Lanun Dinara Cut bergelar juara bagi acara Bidar 10 pengkayuh, diikuti GP Binladin Nuan Tenang Sekaban dan Team Komeng Saribas FT Bujang Vaie, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kesemua hadiah pemenang disampaikan oleh Ahli Dewaj Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman