KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pengangkutan berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan di Puspakom Cawangan Kota Samarahan yang baharu dan mengharapkan perkhidmatan pelanggan lebih cekap apabila beroperasi sepenuhnya kelak.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pusat itu boleh menampung anggaran 500 kenderaan dalam satu masa sama setiap hari, juga 700 kenderaan jika ada permintaan.
“Jadi saya harap dengan kemudahan baharu, mereka akan cekap menyediakan perkhidmatan dan kenderaan komersial tidak perlu menunggu lama untuk temujanji.
“Kami juga gembira dengan ruang yang besar di sini, ia akan memuatkan banyak kenderaan.
“Pusat ini akan beroperasi pada 1 Ogos ini, diharap dapat menyediakan perkhidmatan yang cekap untuk kenderaan di Kuching dan Kota Samarahan,” kata Lee.
Beliau berkata demikian pada lawatannya ke pusat pemeriksaan baharu Puspakom di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Bahagian (Operasi) Puspakom Malaysia Ts Dr Ahmad Zahiri Ismail berkata akan ada perkhidmatan baharu yang disediakan oleh Puspakom buat pertama kali di Sarawak.
“Perkhidmatan pemeriksaan mudah alih baharunya akan berkuat kuasa pada September tahun ini untuk kawasan Kuching dan Samarahan.
“Perkhidmatan ini telah pun dilaksanakan di Malaysia Barat dan ini adalah kali pertama di Sarawak yang mana kami akan menghantar pasukan kami untuk memeriksa kenderaan pelanggan kami di lokasi mereka.
“Perkhidmatan ini khas untuk pemindahan hak milik kenderaan dan pemeriksaan khas.
“Jadi ini akan memudahkan pelanggan kami kerana mereka tidak perlu datang ke pusat pemeriksaan,” ujarnya.
Temujanji boleh dibuat secara dalam talian untuk perkhidmatan tersebut, bagaimanapun, Ahmad berkata bayaran perkhidmatan itu masih dimuktamadkan.
Puspakom Kota Samarahan turut menyediakan perkhidmatan pusat sehenti untuk pelanggan memperbaharui insurans dan Lesen Kenderaan Bermotor (cukai jalan) di kaunter sedia ada selepas selesai pemeriksaan kenderaan.
Hari terakhir operasi Puspakom Kuching ialah pada 27 Julai dan pemilik kenderaan yang sijil pemeriksaan kenderaannya akan tamat tempoh antara 28 dan 31 Julai untuk segera membuat persiapan untuk memeriksa kenderaan mereka di Puspakom Kuching sebelum ia berhenti beroperasi.
Oleh Azreen Keria