SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng menggesa Parti Sarawak Bersatu (PSB) Cawangan Bukit Assek untuk berhenti berkongsi dan menyebarkan maklumat tidak benar bagi mengelak kekeliruan masyarakat.
Chieng berkata demikian sebagai respons kepada PSB Cawangan Bukit Assek berkenaan pemberian Insentif Akademik Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“PSB mendakwa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek dan SMK Sacred Heart tidak layak menerima insentif itu, sebaliknya SMK St Elizabeth layak memandangkan ia merupakan salah satu pusat mengundi Bukit Assek,” katanya.
“Untuk pengetahuan semua, SMK Bukit Assek dan SMK Sacred Heart berada dalam kawasan saya.
“Bagaimanapun, SMK St Elizabeth tidak, ia di bawah DUN Pelawan. Tahun lepas sudah saya jelaskan kepada ibu bapa mengenai insentif ini dan hadnya. Mereka faham,” katanya pada sidang media kelmarin.
Tegas Joseph Chieng lagi, insentif itu hanya untuk pelajar yang sekolahnya terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek sahaja.
“Saya tidak seperti wakil rakyat lain yang mengagihkan insentif mereka melalui permohonan di pusat khidmat mereka.
“Saya lebih memilih untuk mengagihkan insentif itu kepada sekolah dalam kawasan sendiri,” ujarnya.
Justeru, supaya tidak mengelirukan orang ramai mengenai pemberian Insentif Akademik Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar sekolah di kawasannya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa dana projek transformasi luar bandar (RTP) dan projek kecil luar bandar (MRP) yang diberikan kepada setiap wakil rakyat, mempunyai had kerana ia hanya boleh diagihkan dalam kawasan pilihan raya masing-masing.
“Saya ingin mengingatkan bahawa ada juruaudit datang ke pusat khidmat saya dan mengaudit semua akaun MRP dan RTP saya. Jadi, saya tidak mempunyai sebarang isu mengenai perkara ini.
“Saya tahu apa yang saya buat. Jika saya membuat kesilapan, sudah tentu saya akan mengubahnya tetapi untuk ini, saya sangat biasa dengan kawasan pilihan raya saya. Saya juga bertanya kepada Jabatan Kerja Raya mengenai sempadan kawasan pilihan raya saya,” katanya.
Chieng justeru menggalakkan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh serta PSB Cawangan Bukit Assek melakukan perkara sama dengan menawarkan insentif sedemikian rupa sebagai dorongan kepada pelajar dalam kawasan mereka.
Presiden Persatuan Bekas Pelajar SMK St Elizabeth (SEOSA), Elizabeth Tang mengesahkan bahawa sekolah itu berada dalam kawasan DUN Pelawan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sacred Heart (SHOSA) Penghulu Yong King Sung turut menyokong Joseph Chieng berkata, walaupun Chieng suka membantu, beliau tidak melampaui batas dengan menyeberang ke kawasan pilihan raya lain.
Untuk rekod, seramai 254 pelajar yang mendapat 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2022 dari SMK Sacred Heart, SMK Methodist, SMK Bukit Assek dan Sekolah Menengah Katolik menerima Insentif Akademik Pelajar Cemerlang.
Oleh Tarani Lanting