SIBU: Gadis Dayak berusia 18 tahun ke atas dan masih bujang dipelawa untuk menyertai Pertandingan Kumang Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) 2023 di Dataran Bandar Sibu Fasa 1 pada 21 Julai depan.
Pertandingan anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu ini adalah sempena Pesta kebudayaan Borneo (BCF).
Pengerusi SIDS Sibu, Angelyn Uchi Maseng berkata, jawatankuasa pertandingan menyediakan hadiah lumayan pada kali ini berbanding hadiah yang ditawarkan sebelum ini.
“Gelaran ‘Kumang’ akan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta mahkota, selempang, piala, hamper dan bunga manakala gelaran ‘Lulong’ (naib johan) akan menerima RM3,000 beserta selempang, piala dan hamper dan tempat ketiga iaitu gelaran ‘Selinggar Matahari’ akan membawa pulang RM2,000 beserta selempang, piala dan hamper.
“Selain itu, peserta yang memperolehi tempat keempat hingga ke-10 akan menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM600 seorang,” jelasnya, hari ini.
Katanya, gadis yang berminat untuk menyertai pertandingan ini hendaklah mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 150cm.
“Para peserta yang berjaya dan layak ke peringkat akhir diwajibkan memperagakan ‘Ngepan Iban’ (bebas).
“Para peserta kemungkinan akan berentap di peringkat saringan bagi menentukan siap yang layak ke pusingan seterusnya dan ke peringkat akhir namun ia tertakluk kepada bilangan peserta,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pemarkahan peserta akan dinilai mengikut tiga kriteria utama iaitu kecantikan 50 peratus, pakaian 30 peratus serta keyakinan diri dan gaya sebanyak 20 peratus.
“Yuran penyertaan adalah sebanyak RM30 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 12 Julai ini 5.00 petang,” ujarnya lagi.
Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Senorita Salleh di talian 013-8061265, Claudia Dieo (014-6526083), Rose Chukan (013-8313990) atau Priscilla Demi Barnabas (011-19353592).
Oleh AKUN GIMAN