KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berkata beliau terkejut dengan “komen yang menjelikkan” mengenai Malaysia oleh komediri Jocelyn Chia.
Beliau berkata, kenyataan Chia itu tidak sama sekali mencerminkan pandangan Singapura.
“Saya terkejut dengan komen yang menjelikkan oleh Jocelyn Chia. Kerajaan Singapura sama sekali tidak membiarkan kata-kata atau tindakan yang boleh menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada orang lain dan Chia, yang bukan lagi warga Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.
“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kenyataan wanita itu yang menyakitkan hati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi jenaka memperlekehkan Malaysia yang dibuat oleh peguam yang kemudian menjadi pelawak mengenai pesawat malang Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selain membandingkan kemajuan antara kedua-dua negara.
Vanu Gopala berkata sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dalam pelbagai segi, dengan hubungan kedua-dua negara yang mendalam dan kukuh dipelbagai peringkat.
“Komen seperti yang dibuat oleh Chia itu tidak membantu dan menjejaskan kepercayaan dan persahabatan yang erat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyat kita,” katanya.
Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan semalam turut mengecam tindakan Chia yang secara jelas memperlekehkan negara Malaysia dan mempersendakan tragedi yang pernah melanda negara.
Tegasnya, tindakan ini langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.
“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan.
“Saya berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara,” kata Zambry.
Video Chia mempersendakan Malaysia dalam persembahan komedi bertajuk “Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat kini tular. – Bernama