PUTRAJAYA: Seramai 403,637 calon yang mendaftar dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas bakal mengetahui keputusan masing-masing pada 8 Jun ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan calon sekolah boleh mendapatkan keputusan daripada sekolah masing-masing mulai 10.00 pagi.
Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 mulai 10.00 pagi pada 8 Jun sehingga 6.00 petang pada 14 Jun.
Calon juga boleh mendapatkannya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.
Sistem ini akan diaktifkan mulai 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 hingga 6.00 petang pada 14 Jun 2023.
Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Untuk rekod, sebanyak 3,355 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara dan seramai 131,318 petugas peperiksaan dilantik bagi keseluruhan peperiksaan SPM yang berlangsung pada tahun lalu. – Bernama