KUCHING: Lebih 30 kes kecurian elektrik terbongkar di empat blok rumah kedai di Tabuan Park, Kuching, dalam operasi bersama membabitkan Sarawak Energy Berhad (SEB), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) dan polis baru-baru ini.
SEB dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa operasi itu, didapati tiada meter elektrik di lokasi, menunjukkan bahawa pelakunya terpaksa menggunakan kabel penoreh terus untuk menyambung secara haram kepada bekalan kuasa dari sesalur utama ke bangunan.
“Siasatan juga mendedahkan bahawa bangunan itu mempunyai sejarah kejadian kebakaran yang disyaki berpunca daripada amalan pendawaian yang tidak selamat.
“Semua kabel menoreh terus yang ditemui di lokasi telah dibongkar dan dirampas sebagai bukti kecurian elektrik.
“SEB menganggarkan kerugian bulanan kira-kira RM15,000 semata-mata disebabkan penggunaan elektrik yang tidak direkodkan di kawasan ini,” katanya.
Laporan polis telah dibuat dan semua pihak yang terlibat termasuk kontraktor elektrik akan dipanggil untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Jika sabit kesalahan, mereka akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman sehingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun.
SEB akan meneliti permohonan baharu untuk bekalan elektrik, serta akaun sedia ada, untuk individu yang mempunyai sejarah kecurian elektrik.
Semua pemohon, termasuk kontraktor, dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa memohon bekalan elektrik bagi mengelak sebarang komplikasi yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mempercayai penyedia perkhidmatan yang mendakwa mempunyai keupayaan untuk mengurangkan penggunaan elektrik atau menawarkan penggunaan elektrik tanpa had dengan mengganggu meter,” katanya lagi.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian kuasa digalakkan untuk melaporkan kejadian sedemikian, termasuk butiran mengenai penyedia perkhidmatan kecurian kuasa, kepada pusat penjagaan pelanggan SEB di talian 1300-88-3111 atau melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com. Semua maklumat yang diterima akan dianggap sebagai sulit.
Oleh NUR AIN OTSMAN