DARO: Sebuah kantin ladang dekat sini telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah kerana melakukan tiga kesalahan.
Kes berkenaan adalah hasil daripada pemeriksaan yang diadakan pada Rabu (27 Mei) berikutan aduan orang awam.
Menurut Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah, Salihin Den, satu pasukan telah dihantar ke premis tersebut dan merekodkan tiga kes.
“Berikutan aduan tersebut kita telah menghantarkan satu pasukan untuk membuat pemeriksaan dan menghasilkan tiga kes,” ujarnya kepada media pada Khamis.
Kesalahan pertama di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan(AKHAP) 2011, ujarnya, tidak meletakkan tanda harga menyebabkan pemilik dikompaun serta merta sebanyak RM2,000.
Manakala kesalahan kedua ialah dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dikompaun RM500, dan kesalahan ketiga berkaitan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan barangan disita.
Tambanya kesalahan itu membabitkan 1 kes AKHAP 2011 – tidak pamer tanda harga; 1 kes ATS 1972 – guna alat timbang yang tidak ditentusahkan semula; dan 1 kes AKB 1961 – tiada memiliki lesen berniaga barang kawalan (LPG).
“Tindakan kes telah diambil di bawah Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 dengan nilai kompaun RM2000, Sek 14(6) ATS 1972 – Alat tidak ditentusahkan dikompaun RM500, dan Per 3 (1) PPKB 1974 – berniaga barang kawalan tanpa lesen dan mejurus kepada penyitaan barangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa mereka sangat serius di dalam usaha untuk memastikan hak-hak pengguna sentiasa dilindungi tanpa mengira kawasan bandar mahupun di luar bandar.
Justeru kerjasama pelbagai pihak amat dialukan terutama sekali di dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan.