SIBU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi pinjam wang tanpa lesen.
Timbalan Pendaftar Kanan Jessica Lee menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh, Chia Kai Lun, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Berdasarkan pertuduhan, Chia didakwa membantu seorang pemberi pinjam wang dikenali sebagai ‘Ah Keong’ yang masih bebas, menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen antara 10 Februari dan 18 Februari 2023 di sebuah rumah di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce 24B1.
Sehubugan itu, tertuduh yang berasal dari Selangor telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada awal Februari 2023, pengadu yang juga seorang pemilik restoran telah menerima panggilan telefon yang menawarkan pinjaman wang peribadi.
Pengadu telah bersetuju untuk membuat pinjaman yang ditawarkan bagi pusingan modal perniagaannya dan membuat pinjaman berjumlah RM65,000.
Pengadu bagaimanapun hanya menerima wang berjumlah RM39,750 daripada pinjaman berjumlah RM65,000 itu, selain terpaksa membayar sebanyak RM130,500 bagi pinjaman tersebut.
Bayaran sebanyak RM65,000 telah dilangsaikan ke atas semua pinjaman wang yang dibuat, namun pengadu masih menerima panggilan untuk melangsaikan wang yang dipinjamnya itu.
Tertuduh yang diwakili peguam Ben Lau dibebaskan setelah membayar denda yang dikenakan.
Oleh AKUN GIMAN