AKUN GIMAN
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berada dalam keadaan stabil selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Lanang malam Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat ketika dihubungi berkata, dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam, Stanley sedang membuat rondaan PKPB dengan memandu bersendirian apabila kereta dipandunya hilang kawalan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu beliau (Stanley) hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok di sebelah kiri jalan,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah membantu mengeluarkan Stanley daripada keretanya.
Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu yang tiba di lokasi memberi rawatan awal kepada beliau sebelum dihantar ke hospital dalam keadaan sedar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, Stanley mengalami keretakan tulang rusuk kiri, cedera ringan di kaki kanan dan bahagian kepala akibat kemalangan itu.
“Stanley dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sibu,” ujarnya .
Collin turut menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut.