BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu merampas 15 peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras dianggarkan bernilai RM45,250 dalam serbuan di pesisir pantai Samalajau di sini pada Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, rampasan tersebut dilakukan sekitar 8.00 malam setelah pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas barangan tersebut.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, APMM Zon Maritim Bintulu telah melakukan rondaan di sekitar kawasan pantai Samalaju bagi mengesan dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan bercukai.
“Operasi tersebut membuahkan hasil apabila anggota Zon Maritim Bintulu berjaya mengesan dan merampas 15 peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, semasa dikesan, lima suspek sedang melakukan aktiviti pemunggahan barangan tersebut namun berjaya meloloskan diri dengan menggunakan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang gagal dikesan nombor pendaftarannya.
“Ini kerana cuaca dan keadaan laut yang bergelora ketika itu menyukarkan pasukan untuk merapat ke pantai dengan cepat dan melakukan tangkapan.
“Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM45,250 tidak termasuk cukai dan barangan tersebut dibawa ke pejabat Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan.
Dalam pada itu, Khairol turut mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Pihak kami juga amat mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-351 798)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya lagi.