KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskan dan membebaskan seorang guru lelaki atas empat pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal dan satu pertuduhan tidak senonoh ke atas seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun pada 2019.
Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin membebaskan tertuduh berusia 47 tahun selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan mereka selepas menimbangkan alasan keputusan Mahkamah Sesyen.
Rayuan itu dibantah oleh Zaleha.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Nurdiana Che Kamarulzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Shankar Ram, Russell Lim dan Yu Ying Ying.
Pada 29 Ogos 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad telah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua lima pertuduhan tanpa memanggilnya membela diri.
Dayang Ellyn Narisa membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Difahamkan mahkamah sebelum ini mendapati antara lain saksi ketiga yang juga mangsa bercanggah dengan dirinya dalam banyak perkara material semasa perbicaraan dan seterusnya menimbulkan kekeliruan membabitkan lokasi yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual terhadap pelajar lelaki berusia 12 tahun itu dengan menyentuh badan, mencium dahi dan bibir, memeluk dan menghisap alat sulit.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan antara April dan Julai 2019 di tandas lelaki sekolah itu dan sebuah bilik stor di sebuah sekolah rendah di Petra Jaya di sini.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual terhadap pelajar itu dengan memintanya menghisap alat sulit (tertuduh) di dalam tandas lelaki sekolah itu pada Ogos 2019.
Kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 14(b) SOACA 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa telah menghasut pelajar itu melakukan perbuatan tidak senonoh dengan memintanya memasukkan alat sulitnya ke dalam dubur tertuduh di tandas sekolah itu antara April hingga Julai 2019.
377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Difahamkan, pelajar itu memaklumkan kejadian itu kepada neneknya, yang kemudian memberitahunya kepada bapanya. Bapanya kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Seramai enam saksi pendakwaan terdiri daripada mangsa, seorang jurugambar polis, bapa mangsa, seorang guru wanita, guru besar sekolah dan seorang pegawai polis, dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada 2020.
Oleh NICKELYSON LAKUN