KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir merasmikan majlis penyampaian Anugerah Anak Sarawak edisi ke-10 pada 12 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Business Event Sarawak (BESarawak), Amelia Roziman berkata, anugerah itu menampilkan lima kategori utama.
“Ini termasuk empat sub-kategori menjadikan sejumlah sembilan anugerah akan disampaikan pada malam tersebut nanti,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Amelia berkata Anugerah Anak Sarawak edisi ke-10 merupakan anugerah pertama Malaysia untuk Industri Acara termasuk mesyuarat korporat, insentif korporat, konvensyen dan pameran.
Katanya, apa yang berbeza pada tahun ini ialah memasukkan anugerah Warisan Sarawak bagi mengukur semua persidangan yang dikemukakan menngenai kesan warisan terhadap ekonomi, sektoral, sosial dan alam sekitar.
“Tema anugerah pada tahun ini adalah ‘Semangat, Inspirasi dan Warisan’.
“Bersesuaian dengan tema ini, kami mengharapkan orang ramai yang menghadiri majlis ini bermotivasi, mendapat inspirasi, menjadi baik, berubah dan percaya bahawa setiap perubahan tidak kira besar atau kecil yang mereka lakukan baik sektor kekeluargaan kepada masyarakat bakal membawa impak dan meninggalkan legasi.
“Pada malam anugerah nanti, Premier Sarawak juga akan mengumumkan dua acara penting berkaitan dengan Industri Acara yang akan diadakan pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Abang Openg dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini.