KUCHING: Sebanyak 38 pengeluar makanan dan minuman dari Sarawak terlibat dalam pameran FHA-Food & Beverage 2023 di Singapura yang bermula dari 25 hingga 28 April ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, acara antarabangsa itu adalah acara yang sangat baik kepada anak Sarawak untuk membawa produk mereka ke pasaran dunia.
“Saya berharap lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak akan bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) untuk mempamerkan produk baharu dalam acara FHA yang akan datang,”katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Pelancaran Pavilion Sarawak di acara berkenaan disempurnakan oleh Datuk Dr Malcolm Mussen.
Antara produk tempatan Sarawak yang dipamerkan adalah Lada aromatik Sarawak, Pes Laksa Sarawak, Sarang Burung eksotik, Teh Susu 3 Lapisan, Minuman Sedia Dihidang, Gula Apong, Dabai, Kek Lapis, Makanan Ringan, Mee Kampua Segera dan Ikan Sungai.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Lester Mathew, Pengarah Sarawak Trade & Tourism Co. Pte Ltd Datu Laura Lee Ngien Nion, Ketua Bahagian Pembangunan Perdagangan & Pelaburan untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Raymond Lee Hock Sung, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Trade & Tourism Co. Pte Ltd Chew Chang Guan.
Untuk makluman, FHA – Food & Beverage Asia mengumpulkan pempamer dari industri Makanan dan Minuman (F&B) dari seluruh dunia.