MUKAH: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias menyatakan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut semalam (27 April) daripada mangsa.
“Menurut mangsa suspek telah menghantar satu dokumen PDF tentang pelaburan dalam Group Whatsapp IG Global sehingga menyebabkan mangsa tertarik dengan pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudian telah diarah oleh suspek untuk membuat pelaburan dengan melakukan 15 transaksi pemindahan wang keseluhuran berjumlah RM435,100,” kata Rizal.
Menurut beliau lagi, transaksi tersebut dibuat melalui pautan https://user.igglobal di antara 16 Mac sehingga 13 April lalu ke enam akaun bank berlainan.
Kes itu bermula apabila mangsa berusia 68 tahun pesara salah sebuah jabatan kerajaan di Daerah Mukah dihubungi oleh seorang lelaki bernama Eric Yee.
“Mangsa yang berusia 68 tahun menyatakan beliau dihubungi lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Eric Yee telah memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam satu grup whatsapp IG Global.
Pada 8 Februari yang lalu suspek telah mempelawa mangsa untuk melaburkan dalam saham IG Global “ Online” iaitu pelaburan emas dan AS Dollar,” katanya.
Tambah Rizal, pada 22 April mangsa dihubungi salah seorang wanita tidak dikenali yang juga merupakan ahli peserta Group Whatsapp IG Global memberitahu mangsa beliau tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan melalui pautan https://user.igglobal itu.
“Justeru, mangsa telah cuba untuk memindahkan wang berjumlah RM2,225 dari pautan tersebut ke akaun bank miliknya namun tidak berjaya. Berikutan itu, mangsa menyedari telah ditipu apabila mendapati nombor telefonnya telah disekat dalam grup whatapps “IG Global’ dan seterusnya membuat laporan polis,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, ujar Ketua Polis itu lagi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan suruhanjaya
sekuriti Malaysia sahaja.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihati untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan.
“Orang ramai juga dinasihati agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
“Jangan sesekali memasukkan wang ke akuan bank yang tiada kaitan dengan pelaburan yang dibuat anda,” kata Rizal.
Justeru, orang ramai adalah disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my / BNM Telelink 1-300-88-5465(Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my /(603) 62048999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).
Di samping itu, semakan juga boleh dibuat menerusi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) di talian 997 selain memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store, mengimbas QR Code Scan Me pada masa sama juga boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian 013-211 1222 (Whatsapp/sms).
Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun suspek melalui aplikasi check Scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my-sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
Ujar beliau lagi, orang ramai boleh melayari akaun rasmi media social JSJK komersil@JSJKPDRM dan @ Cybercrimealertrmp melalui facebook, instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipuan.
Oleh Hennie