SERIAN: Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersama Unit Operasi Stesen Penguatkuasa JPJ Serian mengeluarkan 45 notis saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Ops Aidilfitri di sini, awal pagi semalam.
Tidak memakai tali pinggang keledar merupakan antara kesalahan paling banyak dikesan dalam tempoh tiga jam Ops Aidilfitri yang diadakan diadakan di sini, awal pagi semalam selain memandu kenderaan tanpa lesen dan cukai jalan kereta tamat tempoh.
Tindakan sita turut dikenakan terhadap dua pemandu lori yang dikesan gagal mematuhi arahan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan yang dilaksanakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan bermula semalam (20 April) dan hari ini (21 April) dan 24 hingga 25 April ini.
Turut disita sebuah motosikal yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.
Tangkapan membabitkan 10 warga asing turut dilakukan oleh Jabatan Imigresen.
Pada masa sama, sebanyak 10 notis ketidak akuran telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar terhadap kenderaan perdagangan yang melangar peraturan sedia ada.
Selain itu, seorang lelaki turut ditahan didapati positif methaphetamine hasil saringan air kencing daripada AADK.
Operasi melibatkan Jabatan Imigresen,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Turut menyertai Ops, Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Noraini Mohd Nawi, Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan Sapiah Putit, Ketua Bahagian Penguatkuasa Maya Morsidi dan Ketua Seksyen Operasi Tuan Saifullah Ali.
Pihak JPJ mengingatkan pengguna jalan raya supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.
Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan.